perjalanan ke 4n9k4s4

perjalanan ke 4n9k4s4
ini adalah gambaran dari seorang ilmuan untuk melakukan/membuat jalan ke luar angkasa atau sekenario dari perjalanan pesawat.....

Selasa, 16 Agustus 2011

RAMADHAN


Ramadhanku

Ramadhan menjengah kembali pada tahun ini. Seperti biasa, persiapan menyambut Ramadhan tidaklah semeriah persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Apa yang aku lihat orang ramai menyambut Ramadhan dengan cara bersederhana. Kata orang, kesan kenaikan harga minyak dan harga barang menjadikan pengguna lebih jimat berbelanja. Tapi aku rasa tiap-tiap tahun memang beginilah gaya sambutannya. Tak ada banyak perbezaan pun cuma orang tidak banyak membazir semasa membeli juadah berbuka seperti dahulu. Harapnya sambutan Aidilfitri pun sederhana juga. Amat pelik sekiranya pada tahun ini Ramadhan disambut secara bersederhana disebabkan oleh kenaikan harga barang dan minyak tetapi Aidilfitri diraikan dengan hebatnya.
Apa yang aku tahu tentang Ramadhan? Ramadhan bulan kemuliaan umat Islam. Aku selalu dengar frasa itu di corong-corong radio dan ceramah-ceramah agama. Yang aku tak nampaknya macam mana umat Islam di negara aku menghayati kemuliaan bulan itu. Perkenalan aku dengan Ramadhan atau lebih dikenali sebagai bulan puasa bermula ketika ….”Minggu depan dah nak posa tau. Yen kena posa,” ibuku memberitahu aku tentang sesuatu yang baru ketika umurku mencecah 6 tahun. ”Posa tu apa mak?” aku mengajukan soalan, gaya seorang anak kecil yang ingin tahu.”Posa tu tak boleh makan dan minum waktu siang. Bila dah senja baru boleh makan. Kita kena posa sebulan,”ibu tekun melayan kerenahku dan menerangkan secara ringkas apa itu puasa.
”Lamanya mak. Mana cek larat,” aku mengadu pada ibuku.
”Takpala. Posa takat mana yang boleh. Kalau tak larat boleh la bukak sebab Yen kan budak kecik lagi. Masa posa boleh main bunga api, beli baju raya, kasut raya. Seronok kan.Lepas tu, boleh makan kuih sedap-sedap dan kutip duit raya,” panjang lebar ibu menerangkan ganjaran-ganjaran yang bakal aku dapat semasa bulan puasa nanti.
Begitula perkenalanku dengan Ramadhan, bulan kemuliaan umat Islam. Aku membesar dengan kefahaman yang bulan puasa adalah bulan untuk mendapat baju raya, kasut raya, main bunga api dan boleh kutip duit raya di pagi raya. Bagiku semua orang berpuasa kerana ingin menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan seronoknya. Kalau tidak puasa, tidak seronoklah raya.
Setelah usiaku menginjak 12 tahun, ustazah di sekolah memberitahuku tentang sesuatu yang baru. Kata ustazah bulan Ramadhan bulan untuk melipat gandakan amal ibadat dan dalam bulan ini ada satu malam yang sangat istimewa, malam Lailatul Qadr. Aku terfikir sendiri. Apa pula malam Lailatul Qadr? Kenapa kita perlu merebut untuk berjumpa dengan malam itu? Ibu tidak pernah bercerita tentang malam yang istimewa itu kepadaku. Ustazah ada cakap malam Lailatul Qadr jatuh dalam 10 malam terakhir Ramadhan. Tapi yang aku tahu malam-malam yang hampir dengan hari rayalah aku, abang dan kawan-kawanku makin asyik bermain bunga api. Tak pernah pun kawan-kawan aku bercerita tentang Lailatul Qadr.
Usia remajaku bertemu dengan Ramadhan mengajarku banyak perkara tentang kelebihan bulan ini. Alhamdulillah aku ditakdirkan untuk bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama(SMKA). Sedikit sebanyak tempias ilmu agama itu menjadikan aku lebih menghargai bulan Ramadhan. Solat terawih mula masuk dalam agenda malam Ramadhanku tetapi tidaklah setiap malam. Aku pergi ke masjid menemani nenekku yang ingin bersolat terawih. Kadang-kadang aku rasa malas untuk bersolat terawih kerana rakaatnya yang panjang dan suasana yang panas. Jarang sekali aku dapt merasai kemanisan bersolat terawih. Aku lupa langsung tentang malam Lailatul Qadr yang perlu direbut pada 10 malam terakhir Ramadhan dek kesibukan menolong sepupuku membuat kuih raya. Masjid pula mula lengang dengan jemaah kerana kebanyakan orang juga sibuk dengan persiapan raya.
Pengalamanku bertemu Ramadhan pada usia 20 tahun memberikan impak yang sangat besar dalam kehidupanku. Aku berpeluang menyambutnya di negara orang kerana menyambung pelajaran di sana. Allah Maha Besar, pintu hatiku diketukNya di bumi Australia untuk mengenali Ramadhan dengan kefahaman Islam yang sebenar. Banyak perkara baru yang aku pelajari dan tidak kurang juga banyak pengalaman baru yang dapat dikutip.
Ucapan ”Ramadhan Mubarak” sangat sinonim dengan budaya masyarakat Islam di universitiku. Seolah-olah mereka sangat menanti-nantikan kedatangan Ramadhan setiap tahun. Di Malaysia, tidak pernah sesiapa mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan kepadaku, kad ucapan Selamat Hari Raya banyaklah. Tetapi, di sini mereka tidak berbalas kad ketika menantikan ketibaan hari raya, cukup hanya sekadar ucapan ”Eid Mubarak” selepas solat sunat AidilFitri.
Di sini, masyarakat Islam menjaga solat sunat terawih dengan rapi. Disamping itu, masjid-masjid akan menganjurkan program ittikaf sepanjang 10 malam terakhir Ramadhan bagi memudahkan masyarakat Islam mencari kemanisan beribadat pada malam Lailatul Qadr. Setiap malam sepanjang Ramadhan aku akan bersolat terawih bersama rakan-rakan. Aku juga mula berjinak-jinak dengan sesi tazkirah setiap kali selesai solat terawih. Dari situlah aku belajar apa maksud Ramadhan, bulan kemuliaan yang sebenar. Aku bersyukur dipilih daripada kalangan hambaNya untuk menghayati maksud Ramadhan daripada kaca mata Islam. Terasa sebak apabila mengetahui rahsia-rahsia keistimewaan Ramadhan yang tidak pernah aku hayati sebelum ini, maksudnya aku telah membazirkan usia 20 tahun secara sia-sia tanpa merebut peluang yang ada di hadapan mata. Ketika itu, barulah aku faham apa yang cuba disampaikan oleh ustazah semasa usia kecilku.
Perkara paling penting yang aku dapat belajar ialah objektif puasa ataupun kenapa perlu puasa? Ayat Al-Baqarah,2:183 memberikan penjelasan kepadaku bahawa Allah mewajibkan puasa pada bulan Ramadhan supaya lahirnya perasaan taqwa dalam jiwa hamba-hambaNya. Kalau difikirkan tidak nampak sangatpun kaitan puasa, melaparkan perut dengan perasaan taqwa. Malah Rasulullah SAW pernah bersabda,
”Berapa orang yang berpuasa tetapi mereka hanya mendapat lapar dan dahaga dan berapa ramai yang berjaga malam tetapi mereka hanya mendapat keletihan berjaga malam.”
Jadi, apa yang akan menyebabkan umat Muhammad meraih pangkat taqwa dengan berpuasa? Rahsianya terletak pada penghayatan puasa itu sendiri. Andai kata puasa dapat menjadi pemangkin kepada kita untuk merebut melakukan amal ibadat dengan ikhlas dan istiqamah, insyaAllah kita akan dapat merasakan kemanisan taqwa itu sendiri. Sekiranya puasa kita tidak mencegah daripada melakukan kemaksiatan kepada Allah, maka benarlah sabda Rasullullah bahawa kita akan mendapat lapar dan dahaga sahaja.
Kadang-kadang aku terfikir kenapa ibu tidak pernah menceritakan ini semua kepadaku sewaktu usiaku kecil lagi. Kenapa ibu tidak beritahu aku perlu berpuasa supaya dapat lahirkan perasaan taqwa kepada Allah SWT? Ibu beritahu aku perlu berpuasa supaya dapat raya. Ibu tidak bercerita tentang Lailatul Qadr yang bersamaan dengan seribu bulan. Tiada juga cerita tentang kemanisan Ramadhan, semuanya hanya tentang keseronokan untuk berhari raya. Adakah rata-rata orang kita begitu? Puasa lebih kepada satu tradisi bukannya satu ibadat. Berdasarkan penilitian aku, orang kita berpuasa lebih kepada adat bukan kerana ibadat.
Siapakah yang bersalah? Ibu? Aku? atau masyarakat setempat? Perlukah aku menuding jari untuk mencari kesalahan siapa? Kita semua mangsa keadaan kerana tidak memahami Islam yang sebenar. Sebab itulah kita lebih seronok menghitung hari untuk berhari raya daripada bersedih memikirkan Ramadhan yang bakal melabuhkan tirainya.
Pengalaman banyak mengajarku tentang kehidupan. Merasai dua budaya yang berbeza dalam menyambut Ramadhan membuatkan aku ingin mengenali Islam dengan lebih dekat. Aku ingin tahu apa yang tidak aku ketahui lagi tentang Rabbiku. Aku juga berharap dapat berkongsi pengetahuan tentang Ramadhan dengan orang di sekelilingku supaya generasi akan datang akan faham kenapa mereka perlu merebut pahala di bulan Ramdhan bukan setakat keseronokan untuk menyambut lebaran.
Kini, aku sudah kembali semula ke tanah airku. Ramadhan pertamaku di tanah air setelah empat tahun menyambut Ramadhan di bumi Australia. Tiada lagi kemanisan berpuasa bersama rakan-rakan di negara orang, yang ada hanyalah kenangan yang terlipat kemas dalam kamus hidupku. Yang pastinya, penghayatan Ramadhanku kali ini amat berbeza sekali sekiranya dibandingkan dengan Ramadhanku empat tahun lalu di Malaysia. Aku sangat bersyukur ke hardat Tuhanku kerana memberikan hidayah kepadaku untuk memahami maksud bulan kemuliaan yang sebenar. Ironinya, hidayah ini ku peroleh di negara orang bukan di tanah tumpah darahku. Ku peroleh hidayah ini di negara yang majoritinya bukan umat Islam tetapi masyarakat muslimnya komited terhadap Islam. Dan itu membuatkan aku jatuh hati pada Ramadhan dan juga Islam.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar